Sediakan pakej berbasikal di destinasi pelancongan
TEMERLOH - Agensi-agensi pelancongan di negeri ini diseru menyediakan lebih banyak pakej aktiviti berbasikal di destinasi pelancongan berikutan populariti aktiviti tersebut.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ia dapat memberi pilihan kepada penggemar aktiviti itu untuk memilih destinasi pelancongan bersesuaian dengan minat mereka.
Menurutnya, aktiviti itu juga diminati pelancong asing yang ingin menerokai lebih banyak destinasi menarik menerusi berbasikal selain masyarakat setempat.
"Bagi merancakkan aktiviti berbasikal selain mempromosikan destinasi pelancongan negara, Tourism Pahang mencadangkan agensi pelancongan menghasilkan lebih banyak pakej-pakej aktiviti ini di destinasi pelancongan.
"Ia dapat memberi pilihan penggemar aktiviti ini memilih destinasi bersesuaian dengan kehendak dan citarasa mereka.
"Sebagai contoh, pada 2014 sebanyak 4,072 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM725,612 telah dijual di seluruh negara," katanya dalam ucapan perasmian penutup acara Temerloh Titik Tengah Semenanjung Ride 2021 anjuran Tourism Pahang di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.
Hadir sama, Ketua Zon Dua Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sobri Mohamed Salleh dan Ketua BBP Bukit Angin, Jalailuddin Abdul Mubin.
Mohd Sharkar berkata, sebagai contoh di Temerloh, selain terkenal dengan menu ikan patin masak tempoyak ia turut menawarkan destinasi menarik antaranya Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang dan Deerland.
"Sekali sekala tukar percutian dengan santai dan sihat selain mengurangkan pencemaran udara dengan berbasikal," jelasnya.
Sementara itu, penganjur program, Mohd Sabri Ishak berkata, seramai 210 peserta dari Pahang serta Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Katanya, ia adalah program julung kalinya dijalankan selepas terhenti berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
"Peserta terdiri mereka yang berusia 16 hingga 67 tahun yang turut disertai 12 wanita merentas jarak keseluruhan 55 kilometer bermula BBP Bukit Angin melalui bandar dan destinasi menarik sebelum berakhir di BBP Bukit Angin.
"Kita tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan acara ini dalam skala lebih besar pada masa depan bergantung dengan situasi semasa," jelasnya ambil menjelaskan, acara itu pertama kali dianjurkan pada tahun 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!