Direman sehari gara-gara rampas beg tangan wanita
SHAH ALAM - Seorang lelaki yang dipercayai merampas beg tangan seorang wanita dalam kejadian kemalangan di Kilometer 14.6 Lebuh Raya Persekutuan pada Ahad direman sehari untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, reman terhadap suspek berusia 56 tahun itu dibenarkan hanya sehari kerana mengambil kira faktor usianya.
"Mahkamah juga mengambil kira suspek yang perlu menjaga isteri yang sakit strok," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, tular satu video berdurasi 30 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki meminta seorang wanita menyerahkan kad pengenalan selepas dipercayai berlaku kemalangan di antara mereka.
Lelaki warga emas itu kemudian merampas beg tangan wanita berkenaan dan terus memasuki keretanya untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!