Polis berkas lelaki cuba larikan pelajar perempuan
JOHOR BAHRU - Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai cuba melarikan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dalam kejadian pada Khamis lepas di hadapan sebuah sekolah di Taman Molek, Johor Jaya di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu berusia 35 tahun itu ditahan di Senawang, di Negeri Sembilan pada jam 8.53 malam, Sabtu oleh Jabatan Siasatan Jenayah D8 dan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati individu ini mempunyai satu rekod jenayah dan dadah, manakala ujian air kencing pula adalah positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan bagi kesalahan berkaitan culik.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 6.50 pagi 25 November lepas, remaja terbabit yang baru turun daripada van sekolah telah dipanggil oleh seorang lelaki memandu kereta jenis Perodua Kancil yang tidak dikenalinya.
Individu itu memintanya untuk menghantar satu borang kepada sekolah sebelum remaja itu ditarik masuk ke dalam kereta dan dibawa lari kira-kira 400 meter daripada lokasi kejadian, bagaimanapun pelajar terbabit berjaya melepaskan diri serta meminta bantuan daripada orang awam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!