Permohonan, kemas kini BKM dibuka Januari depan
KUANTAN - Kementerian Kewangan membuka permohonan baharu dan kemas kini bagi data Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bermula 1 hingga 31 Januari tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah berkata, ini bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan diberikan peluang sekali lagi untuk memohon.
"Jadi, semua yang layak boleh membuat permohonan dan semakan dalam pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kita akan mempermudahkan proses permohonan itu (BKM).
Kita jangkakan pembayaran pertama akan dibuat pada bulan Mac 2022 dan pembayaran BKM dilaksanakan empat kali setahun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia yang meneruskan agenda untuk membantu golongan usahawan sasaran di Dewan Paya Besar di sini pada Ahad.
Hadir sama pada karnival itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Abd Rahim Muda.
Mohd Shahar menjelaskan, bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir, penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas Covid-19 (BKC) B40, akan dipertimbangkan untuk BKM secara automatik.
Katanya, bagaimanapun ia mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan.
"Kita (kerajaan) sebenarnya komited untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya golongan rentan (B40) dengan menyediakan bantuan tunai sebanyak RM8.2 bilion di bawah BKM pada tahun hadapan.
"Kita jangka seramai 9.6 juta penerima mendapat manfaat itu dan bantuan ini disediakan untuk menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.
Sebelum itu, pembayaran Fasa 1 BKC telah selesai dibuat pada September lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima.
Pembayaran Fasa 2 BKC juga telah dibuat mulai 25 November lalu dengan peruntukan RM300 juta manakala bayaran kedua ini akan melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.
Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan pada Disember depan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!