103,528 pengguna langgan Pakej Remaja, Peranti Keluarga Malaysia

Mohammad Mentek (kanan) beramah mesra dengan pasangan kembar Waleen Chua Rui Wen (kiri) dan Wareen Chua Rui Yin (dua, kiri) sewaktu lawatannya ke Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Kampung Terbak pada Ahad. - Foto Bernama
Mohammad Mentek (kanan) beramah mesra dengan pasangan kembar Waleen Chua Rui Wen (kiri) dan Wareen Chua Rui Yin (dua, kiri) sewaktu lawatannya ke Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Kampung Terbak pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Sehingga kini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merekodkan seramai 103,528 pengguna yang melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, ia melebihi sasaran peringkat awal iaitu sekurang-kurangnya seramai 100,000 pengguna sahaja membabitkan dua pakej kemudahan akses Internet itu.

Katanya, KKMM turut menjangkakan pengguna yang mendapat manfaat daripada pakej itu akan bertambah dari semasa ke semasa dan ia mampu mencecah sehingga 130,000 pengguna pada Disember ini.

“Menerusi Pakej Peranti Keluarga Malaysia ia telah merekodkan seramai 31,176 pengguna manakala Pakej Remaja Keluarga Malaysia dengan kemudahan hanya RM30 untuk tempoh tiga bulan telah mendapat langganan seramai 72,352 pengguna.

“Kita ingin mengucapkan tahniah khususnya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan semua telco (syarikat telekomunikasi) yang telah memberikan kerjasama dan memberi jaminan sasaran ini dapat kita capai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM selepas mengadakan lawatan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Terbak di sini pada Ahad yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin dan Pengurus PEDi, Kampung Terbak Suhaida Suriman.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata, beliau turut menyeru agar lebih ramai rakyat di negara ini khususnya mereka yang masih menggunakan telefon pintar dengan kadar capaian rangkaian internet 3G untuk memanfaatkan pakej yang ditawarkan.

“Hal ini disebabkan oleh kita akan menamatkan 3G menjelang Disember iaitu tiada lagi kemudahan itu dan akan digantikan dengan 4G dan 5G. Oleh itu, orang ramai diseru untuk mendapatkan pakej yang ditawarkan bagi melengkapkan pengalaman Internet mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan yang lain Mohammad berkata, setakat ini sebanyak 493 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu yang telah dikeluarkan oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah MCMC.

“Kita lihat sejak ada pasukan berkenaan peratus pengurangan berita palsu semakin berkurangan sekali gus menimbulkan kesedaran orang ramai. Kami juga ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dan semak dahulu dalam berkongsi maklumat.

“Sekiranya terdapat sebarang berita yang diragui kesahihannya, orang ramai boleh menyemak atau menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!