Pengantin baru maut, hamil dua minggu
MACHANG - Seorang pengantin baharu yang maut dalam kemalangan di Setiu, Terengganu ketika dalam perjalanan pulang untuk menziarah jenazah ibu di kampung, hamil cahaya mata yang pertama.
Mangsa, Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dalam kemalangan yang berlaku pada jam 7.15 pagi.
Ibu saudara mangsa, Salmie Arshad, 53, berkata, arwah Nadia Fizatul Hanim yang berasal dari Pulai Chondong, Machang itu baru sahaja mengetahui berita gembira berhubung kehamilannya itu.
“Arwah mendirikan rumah tangga dengan pasangan pada bulan lalu dan baru juga mengetahui dia mengandung dua minggu.
“Pulang nak ziarah jenazah ibu yang meninggal kerana sakit kronik di kampung di Machang, tetapi dia pula menyusul. ALLAH menyayangi mereka berdua,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN:Maut dalam perjalanan ziarah ibu meninggal dunia
Menurutnya, mangsa bersama suami, Muhamad Nazirul Rameli, 23, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil bertolak dari Johor selepas mendapat khabar ibu mangsa yang meninggal dunia pada jam 6 petang Sabtu.
“Kejadian itu amat mengejutkan dan turut memberi kesan besar kepada keluarga apabila kehilangan dua ahli keluarga serentak dalam masa tidak sampai 24 jam,” katanya.
Tambahnya, jenazah dua beranak itu disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Ajil, Machang pada petang Ahad.
Kisah mangsa turut tular pada Ahad apabila dikongsikan oleh Salmi di akaun Facebooknya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan Nadia Fizatul Hanim maut dalam kemalangan apabila kereta dipandu suaminya hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.
Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian depan tercampak keluar dari kenderaan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!