Kuching beri laluan kepada Uzbekistan anjur AYPG 2025

Megat Shahriman
Megat Shahriman
A
A
A

BANDARAYA Kuching boleh melupakan hasrat untuk menjadi tuan rumah Sukan Belia Para Asia (AYPG) apabila memberi laluan kepada Uzbekistan untuk menganjurkan temasya sukan berkenaan buat pertama kali pada edisi 2025.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berkata, perkara itu diputuskan pihaknya bersama kerajaan Sarawak untuk memberi keutamaan kepada negara belum pernah menganjurkan AYPG sebelum ini memandangkan Malaysia sudah menjadi hos AYPG di Kuala Lumpur pada 2013.

“Malaysia melalui Kuching, Sarawak menunjukkan semangat kesukanan tinggi kerana memberi laluan kepada negara yang belum pernah menganjurkan AYPG. Dari segi meritnya, Sarawak mempunyai stadium dan fasiliti lengkap namun kita memutuskan agar setiap negara dapat merasai penganjuran temasya itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada bekas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah atas keperibadian tinggi beliau dan pihak kerajaan negeri untuk memberi peluang kepada Uzbekistan menjadi hos AYPG 2025,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen kebangsaan yang akan bertanding pada AYPG 2021 di Manama, Bahrain, dari 2 hingga 6 Disember ini.

Pada 3 November lepas, Megat Shahriman mengumumkan Kuching disenarai pendek untuk menjadi tuan rumah AYPG 2025 oleh Jawatankuasa Paralimpik Asia.

Mengenai AYPG 2021 di Manama, beliau memaklumkan, sukan renang, powerlifting dan olahraga berpotensi menyumbangkan pingat buat negara walaupun MPM tidak meletakkan sebarang sasaran buat mereka kali ini.

Katanya, tumpuan sudah semestinya diberikan kepada perenang, Brenda Anellia Larry yang diyakini mampu mencerikan kontinjen negara selepas mempunyai pengalaman beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Megat Shahriman mengingatkan barisan atlet agar tidak mengambil sikap sambil lewa, sebaliknya berjuang bersungguh-sungguh ketika menggalas cabaran negara di temasya sukan tersebut.

Beliau menegaskan, para atlet harus mempunyai semangat juang yang tinggi kerana menyifatkan AYPG 2021 sebagai medan ‘hidup dan mati’ mereka jika ingin terus dipanggil mewakili negara mahupun tersenarai dalam program latihan kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) pada masa depan.

Seramai 13 atlet akan membawa cabaran Malaysia pada AYPG 2021 dalam enam jenis sukan iaitu olahraga, badminton, boccia, renang, pingpong dan powerlifting. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!