Ambil peduli janji temu dos penggalak
SHAH ALAM - Rakyat disaran untuk ambil peduli janji temu yang telah diberi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengambil dos penggalak.
Ia merupakan satu usaha daripada terkena jangkitan Covid-19 selain menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti menjaga jarak dan memakai pelitup muka.
Dos penggalak juga boleh dianggap sebagai penyelamat seseorang daripada mendapat kesan sampingan jangkitan Covid-19 yang kritikal.
Menurut kajian, pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima vaksin Sinovac dapat meningkatkan keberkesanan imuniti badan individu daripada 54 peratus kepada 95 peratus.
Dapatan itu diperoleh hasil kajian Kementerian Kesihatan Chile yang menunjukkan keberkesanannya iaitu 14 hari selepas dos penggalak diberikan.
Berdasarkan maklumat dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi Twitter, untuk dos penggalak AstraZeneca kepada penerima Sinovac, keberkesanan vaksin meningkat daripada 54 peratus kepada 94 peratus.
Selain itu, pemberian dos penggalak Sinovac kepada penerima Sinovac pula meningkatkan keberkesanan vaksin daripada 54 peratus kepada 74 peratus.
Namun begitu, masih ramai yang tidak menunaikan tanggungjawab dengan tidak menghadiri janji temu yang telah diberikan.
Menurut Khairy, sebanyak 45 peratus daripada penerima janji temu untuk dos penggalak gagal menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan.
Katanya, terdapat tiga faktor yang menjadi penyebab rakyat tidak mengambil dos penggalak tersebut antaranya adalah mereka tidak mengetahui keberkesanan dan kepentingan dos penggalak, rasa takut akan pencampuran vaksin dan tidak mengendahkan dos penggalak.
Lebih merisaukan apabila kebanyakan daripada penerima yang enggan mengambil dos penggalak adalah mereka yang berisiko tinggi iaitu berumur 60 tahun ke atas.
Dengan keberkesanan dan kelebihan yang telah ditunjukkan oleh KKM berkaitan dos penggalak, diharapkan lebih ramai masyarakat sedar akan kepentingan dos penggalak dalam mengawal penularan Covid-19 dalam komuniti dan negara Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!