VTL buka pintu rezeki peniaga

Shahrilnizam menyusun bahulu yang dijual pada harga RM7 hingga RM18 sekotak di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru, pada Ahad.
Shahrilnizam menyusun bahulu yang dijual pada harga RM7 hingga RM18 sekotak di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peniaga di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral (Larkin Sentral) di sini menganggap Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat satu sinar baharu selepas kehilangan pelanggan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Peniaga kedai Mahanoum Bahulu Malaya, Shahrilnizam Mohamed, 50, sudah membuat persiapan awal dengan menyediakan dua hingga tiga adunan berbanding satu adunan sehari sepanjang tempoh PKP.

"Setiap adunan mengandungi 10 kilogram. Kalau sebelum PKP biasanya 15 hingga 20 adunan sehari. Kira-kira 90 peratus pelanggan kami dari Singapura. Ketika PKP, perniagaan kami merudum hingga 95 peratus.

"Pelanggan Singapura biasanya akan membeli dalam jumlah yang banyak sehingga 10 kotak sebagai buah tangan untuk keluarga dan jiran," katanya ketika ditemui di terminal tersebut pada Ahad.

Menurut Shahrilnizam, semasa PKP, jumlah pelanggan turun mendadak dan dia hanya berharap perniagaan dalam talian selain penghantaran ke republik tersebut menerusi laluan darat di Gelang Patah, Iskandar Puteri.

"Saya akan hantar bekalan baulu di Gelang Patah kepada lori yang membawa makanan ini masuk ke Singapura sebelum diedarkan di kedai-kedai di sana," katanya yang sudah 15 tahun meniaga bahulu.

Penyelia Juice Works, Syazryan Zainal, 18, berkata, kedai minuman jus buah-buahan itu baru berpindah di terminal tersebut dari pusat beli-belah Toppen sejak Jumaat lalu kerana menjangkakan kedatangan lebih ramai pelanggan terutama rakyat Singapura.

Artikel Berkaitan:

Syazryan Zainal
Syazryan Zainal

"Ini adalah cawangan ketiga kami dan sebelum membuka kedai, kami sudah membuat kajian keadaan di terminal ini yang memang mempunyai potensi pasaran lebih luas untuk diteroka terutama bermula pelaksanaan VTL," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Keusahawan India Muslim Johor, Hussein Ibrahim berkata, semasa PKP lebih 10 pengurup wang di Larkin Sentral terpaksa ditutup kerana ketiadaan pelanggan.

Walaupun kedai ditutup katanya, peniaga terpaksa membayar sewa bulanan dan pelaksanaan VTL darat itu akan menghidupkan semula lebih 100 pengurup wang di daerah ini.

"Kita jangka kira-kira 60 peratus perniagaan akan hidup semula selepas ini. Kita harapkan pengembara yang menggunakan VTL darat dapat ditambah selepas ini bagi membolehkan lebih ramai masuk ke sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!