Malaysia perlu lebih waspada

Malaysia perlu mengambil langkah pencegahan lebih ketat agar varian Omicron itu tidak lolos dan ‘menyerang’ sistem kesihatan. - Gambar hiasan
Malaysia perlu mengambil langkah pencegahan lebih ketat agar varian Omicron itu tidak lolos dan ‘menyerang’ sistem kesihatan. - Gambar hiasan
A
A
A

DALAM keadaan kita semua hendak menikmati segala kelonggaran fasa endemik, muncul pula varian baharu Covid-19 yang dilaporkan 500 peratus lebih tinggi kadar penularan berbanding varian Delta.

Varian yang dinamakan Omicron, pertama kali dilaporkan muncul di Afrika Selatan pada 24 November lalu dan sejak itu juga dikenal pasti menular ke negara lain.

Selain Afrika Selatan, Omicron dilaporkan dikesan di Israel membabitkan seorang individu tiba dari Malawi, Botswana, Hong Kong dan Belgium yang juga negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Walaupun varian itu belum disahkan berada di Amerika Syarikat (AS), namun pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci berkata, pihaknya tidak terkejut jika ia sudah berada di negara itu.

Ini kerana katanya, apabila sesuatu varian itu mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, maka ia akan mudah merebak ke semua tempat.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) pula memberi amaran bahawa Omicron mendedahkan risiko ‘tinggi hingga sangat tinggi’ terhadap Eropah.

Kata ECDC dalam satu laporan penilaian ancaman risiko keseluruhan Omicron terhadap EU dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) (mencakupi Iceland, Liechtenstein serta Norway), adalah tinggi hingga sangat tinggi.

Banyak negara sudah menutup sempadan mereka kepada pengembara dari Afrika Selatan dan tujuh negara Afrika lain.

Artikel Berkaitan:

Malaysia juga sudah mengambil langkah keselamatan iaitu tidak membenarkan pengembara mengunjungi negara-negara yang telah dilabelkan terlibat dengan varian tersebut.

Namun, di sebalik semua langkah pencegahan yang diambil, pintu sempadan negara perlu diletakkan ke tahap lebih waspada kerana kita tidak mahu varian ini menular ke dalam negara.

Malaysia perlu mengambil langkah pencegahan lebih ketat kerana kita tidak mahu varian itu lolos dan ‘menyerang’ sistem kesihatan kita yang masih belum stabil akibat impak Delta sebelum ini.

Rakyat Malaysia pula perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak boleh leka supaya kita tidak kembali ke zaman lockdown.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!