Covid-19: Afrika Selatan jangka gelombang ke-4 akibat Omicron
PRETORIA - Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa memaklumkan bahawa negaranya menjangkakan gelombang keempat jangkitan Covid-19 susulan varian baharu Omicron.
Ini susulan purata kes sepanjang minggu meningkat kepada 1,600 daripada 500 kes pada minggu sebelumnya.
"Para saintis kami di Afrika Selatan dan di dunia masih bekerja keras untuk menentukan. Dalam beberapa hari dan minggu akan datang, apabila lebih banyak data tersedia, kita akan mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang; pertama, sama ada Omicron mudah menjangkiti; dua, sama ada ia meningkatkan risiko jangkitan semula.
"Dan tiga, sama ada varian ini menyebabkan penyakit yang lebih teruk, dan empat, sejauh manakah keberkesanan vaksin semasa terhadap varian Omicron ini," katanya.
Dalam ucapan di televisyen, Ramaphosa berkata saintis negara itu telah menentukan bahawa kebanyakan peningkatan kes jangkitan adalah disebabkan oleh varian Omicron, dan bukannya jenis varian yang sedang menular.
Omicron telah dikenal pasti pada awal minggu ini oleh penyelidik di Afrika Selatan, dan telah mencetuskan amaran global baharu. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!