46 pengembara dari Singapura tiba di Larkin di bawah VTL
JOHOR BAHRU - Seramai 46 pengembara Singapura bagi kumpulan pertama di bawah skim Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) (Darat) tiba di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral Johor Bahru pada jam 9.10 pagi Isnin.
Ketibaan mereka disambut dengan tepukan oleh petugas di terminal dan warga media yang menungggu sejak seawal jam 8 pagi.
Penasihat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong turut berada di terminal bagi menyambut ketibaan pengembara terbabit.
Selepas tiba, kesemua pengembara perlu menjalani ujian pengesahan pantas (RTK) 'On Arrival Test' (OAT) Covid-19 selain mereka juga perlu mengemukakan Vaccination Travel Pass (VTP) serta keputusan ujian Covid-19 yang dilakukan di Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada 21 November lalu memaklumkan seramai 1,440 individu dijangka menggunakan VTL darat antara Malaysia dan Singapura yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!