VTL: 32 trip bas, 2,880 penumpang merentasi Tambak Johor
PUTRAJAYA - Sebanyak 32 trip bas yang membawa seramai 2,880 penumpang akan merentasi Tambak Johor bermula Isnin.
Ia susulan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di checkpoint Woodlands, Singapura.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, VTL membolehkan rakyat kedua-dua negara melakukan perjalanan selepas sekian lama sempadan ditutup akibat pandemik Covid-19.
"Mudah-mudahan dengan VTL ini, hubungan ahli keluarga dan persahabatan rakyat kedua-dua negara kembali erat selain memulihkan semula ekonomi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Selain Ka Siong, rombongan Malaysia terdiri daripada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.
Kabinet Singapura pula diwakili oleh Menteri Kanan, Teo Chee Hian; Menteri Luar, Vivian Balakrishnan; Menteri Pengangkutan, S Iswaran dan Menteri Perdagangan, Gan Kim Yong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!