Sultan Perak berkenan rasmi sambutan 100 tahun UPSI
TANJUNG MALIM - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan merasmikan Sambutan 100 Tahun penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini pada Isnin.
Baginda tiba di majlis berkenaan pada jam 10 pagi dengan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Sambutan ulang tahun itu diadakan bagi menghargai sumbangan seluruh alumni pusat pengajian tinggi itu bermula dari era Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sehingga ke era UPSI.
Tetamu yang hadir diperdengarkan dengan lagu rasmi sempena sambutan 100 tahun penubuhan UPSI, 'Seabad Suluh Budiman' dan persembahan montaj yang memaparkan liku-liku perjalanan penubuhan SITC, MPSI, IPSI sehingga UPSI.
Noraini berkata, UPSI yang ditubuhkan pada 29 November 1922 telah melahirkan ribuan pendidik dan pemimpin ternama bukan sahaja di tanah air, malah di pentas global.
Katanya, lakaran panjang sejarah gemilang institusi itu telah pun bermula pada era penubuhan SITC dan sehingga ke hari ini, UPSI melangkah dengan begitu pantas membina kecemerlangan, memberikan saingan hebat kepada universiti ternama lain.
"Dengan penuh karisma, UPSI menyambung legasi, mengukir keunggulan dan giat membina kemasyhuran di pentas nasional serta antarabangsa.
"Ternyata, UPSI mempunyai keupayaan yang tersendiri dan idealisme warganya yang bijaksana dalam menguruskan sebuah universiti pendidikan tersohor negara," katanya.
Beliau berkata, banyak kejayaan dicapai telah melonjakkan UPSI di persada pendidikan global antaranya Times Higher Education yang mengiktiraf institusi itu sebagai universiti kelapan terbaik di Malaysia dan 801 dunia dalam World University Ranking 2022.
Katanya, UPSI juga berjaya meletakkan diri di tangga ke-176 dunia dalam subjek pendidikan serta persada 101 dunia dalam kategori Times Higher Education Emerging Economies dan baru-baru ini, institusi itu telah menempa nama di kedudukan ke-205 dalam senarai QS World University Ranking Asia 2022.
"Saya meletakkan harapan yang tinggi agar warga UPSI meneruskan perjuangan, memperkasa dan meneroka pelbagai pendekatan yang efisyen dalam melonjakkan pendidikan negara.
"Kami di kementerian amat mengharapkan kepakaran UPSI dalam memperkenalkan kaedah terkini, meremajakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konvensional kepada digital serta pembentukan kurikulum yang holistik berteraskan keinsanan," katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, landskap pendidikan negara telah mengalami perubahan yang drastik.
Jelas beliau, rempuhan teknologi dan Revolusi Perindustrian 4.0 telah menuntut semua pihak untuk lebih proaktif dan responsif kepada persekitaran.
"Sebab itu saya katakan bahawa UPSI perlu memberi penekanan kepada pendigitalan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran.
"Saya yakin dengan kepakaran yang ada pada akademi di UPSI, hasrat membantu negara dalam merangka sistem pendidikan yang holistik dan kalis masa depan akan dapat dicapai," katanya.
Penubuhan UPSI bermula dari SITC, selepas 35 tahun kemudian akademi itu telah dinaik taraf menjadi MPSI dengan maktab pertama menggunakan nama diraja.
30 tahun kemudiannya, MPSI dimartabatkan menjadi IPSI yang menjadi pusat utama dalam pengembangan profesion keguruan. Tanggal 1 Mei 1997, IPSI dinaik taraf menjadi UPSI iaitu satu-satunya universiti pendidikan.
Dari kampus kecil di daerah Muallim, UPSI kini memiliki tiga kampus utama iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim, Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City dan Kampus Teluk Intan dengan keluasan 404.686 hektar dan 27,000 pelajar dari empat penjuru dunia termasuk Australia, Amerika Syarikat, Timur Tengah, Nigeria, Brunei dan China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!