Selangor catat hampir 5,000 kes keganasan rumah tangga
SHAH ALAM - Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 4,978 kes keganasan rumah tangga dalam tempoh bermula 2018 sehingga Oktober lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perincian kes mengikut tahun adalah 951 kes (2018), 1,159 kes (2019), 1,349 kes (2020) dan 1,519 kes dalam tempoh Januari sehingga Oktober 2021.
"Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor, jumlah kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Selangor mulai 2018 sehingga Oktober 2021 mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 4,978 kes," katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14, di sini pada Isnin.
Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Juwairiya Zulkifli (PKR-Bukit Melawati) mengenai jumlah kes keganasan rumah tangga yang dicatatkan di Selangor sejak 2018 sehingga kini.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif menyediakan Talian SELamat sebagai talian khas untuk masyarakat membuat aduan tentang keganasan rumah tangga yang berlaku khususnya di Selangor.
Menurutnya, inisiatif itu adalah sebagaimana terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 diumumkan pada Jun lalu dan mula beroperasi pada 1 November selama 24 jam menerusi talian 03-6419 5027 di bawah kendalian Wanita Berdaya Selangor (WBS).
"Pada masa sama, WBS turut berkongsi maklumat dan informasi mengenai Talian SELamat di laman sosial WBS (Facebook dan Instagram), Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 kawasan DUN serta di pejabat rakan usaha sama sebagai langkah untuk menyebarkan kesedaran dan advokasi berkenaan Keganasan Rumah Tangga (KRT)," katanya.
Selain itu, beliau berkata, WBS kini sedang mengadakan Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender bermula 25 November hingga 10 Disember sebagai langkah advokasi kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!