'Saya mahu beri kejutan kepada ibu dan nenek'
JOHOR BAHRU - Selepas hampir setahun berada di Singapura, seorang pengurus operasi gembira kerana dapat pulang bertemu keluarganya di Nusajaya menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL - Darat).
Kavin Raj Gunalan, 25, berkata, dia tidak memaklumkan kepada keluarganya akan pulang menerusi VTL - Darat pada Isnin.
"Saya mahu beri kejutan kepada ibu dan nenek, apatah lagi saya tidak dapat pulang ketika Deepavali sebelum ini.
"Sudah tentu saya sangat rindukan ibu, nenek dan keluarga lain malah saya ambil cuti selama tiga bulan bagi menghabiskan masa bersama keluarga sebelum kembali ke Singapura nanti.
"Saya tidak sabar hendak makan nasi lemak dan teh tarik di sini yang rasanya sangat istimewa," katanya ketika ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral.
Ditanya mengenai proses pemeriksaan yang dilakukan sebaik tiba di Terminal Larkin Sentral, Kavin Raj berkata, proses dilakukan agak teliti namun berjalan lancar.
"Semua pengembara dari Singapura yang tiba perlu mengemukakan Vaccination Travel Pass (VTP) serta keputusan ujian Covid-19 yang dilakukan di Singapura, dalam tempoh 72 jam lalu.
"Selepas semua dokumen dan keputusan di Singapura sudah disahkan, kami diarah melakukan ujian pengesanan pantas (RTK) atau On Arrival Test (OAT) Covid-19 di Terminal Larkin Sentral.
"Selepas keputusan OAT kami negatif, barulah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) benarkan kami melepasi pintu keluar laluan VTL-Darat," katanya.
Sebelum itu, seramai 46 pengembara bagi kumpulan pertama tiba di Terminal Larkin Sentral dari Singapura melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Darat).
Kumpulan pengembara yang tiba di Terminal Larkin Sentral menaiki bas pada jam 9.10 pagi disambut oleh Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Keong.
Kumpulan rakyat Malaysia terbabit merupakan pengembara VTL-Darat yang pertama menyeberangi Tambak Johor sejak hampir dua tahun sempadan antarabangsa ditutup akibat penularan wabak Covid-19.
ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan bincang pelbagai VTL dengan negara jiran serantau: Khairy
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!