PM Ismail Sabri mulakan lawatan rasmi ke Singapura
SINGAPURA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan rasminya ke Singapura pada Isnin dengan menghadiri majlis sambutan di Istana di sini.
Ia merupakan lawatan rasmi kali pertama Ismail Sabri ke negara republik ini sebagai Perdana Menteri.
Di majlis itu Ismail Sabri memeriksa kawalan kehormat dan seterusnya menandatangani buku pelawat.
Perdana Menteri turut diberi penghormatan apabila satu spesies hibrid anggerik baharu dinamakan sempena namanya, dan beliau kemudiannya membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob.
Pada sebelah pagi, Ismail Sabri bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VCL) laluan darat Singapura-Malaysia.
Ismail Sabri diiringi oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; dan Menteri Besar, Johor Datuk Hasni Mohammad, dan pegawai-pegawai kanan.
Ismail Sabri dijadualkan menghadiri perjumpaan empat mata dengan Hsien Loong kemudian nanti, sebelum mengadakan persidangan media bersama, yang akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Hsien Loong.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad berkata, lawatan itu akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!