Belum jelas Omicron mudah berjangkit, sebabkan gejala lebih teruk

Kelihatan orang ramai berada di sekitar jalan komersial di Cape Town, Afrika Selatan. Foto Xinhua
Kelihatan orang ramai berada di sekitar jalan komersial di Cape Town, Afrika Selatan. Foto Xinhua
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad berkata, masih belum jelas sama ada varian Omicron Covid-19 lebih mudah berjangkit, atau menyebabkan gejala penyakit yang lebih teruk berbanding varian lain termasuk Delta, lapor Xinhua.

WHO berkata, kedua-dua perkara itu masih belum dipastikan meskipun data awal menunjukkan terdapat peningkatan kadar kemasukan ke hospital di Afrika Selatan akibat varian itu.

Pertubuhan itu turut mengesahkan pada masa ini tiada maklumat untuk mengesyorkan simptom yang dikaitkan dengan Omicron adalah berbeza daripada simptom varian lain, kerana ia mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu untuk diketahui.

Semua varian Covid-19, termasuk varian Delta yang kini dominan di seluruh dunia, boleh menyebabkan penyakit atau kematian yang teruk, khususnya bagi individu yang paling terdedah, dan oleh itu pencegahan adalah sangat penting.

Bagaimanapun, WHO berkata, bukti awal menunjukkan mungkin terdapat peningkatan risiko jangkitan semula dengan Omicron, tetapi maklumat adalah terhad. Maklumat terperinci mengenai perkara ini akan tersedia dalam beberapa hari dan minggu lagi.

Kenyataan itu menyebut bahawa ujian PCR semasa dapat mengesan Omicron, sementara kajian lanjut masih diteruskan untuk memahami bagaimana varian Omicron akan memberi kesan kepada vaksin dan rawatan Covid-19 sedia ada.

WHO pada Jumaat mengklasifikasikan varian terbaharu virus SARS-CoV-2 B.1.1.529, kini dengan nama Omicron, sebagai "Variant of Concern" (VOC).

Ia juga mengesyorkan penyiasatan lapangan dan penilaian makmal untuk lebih memahami potensi varian baharu itu dan kesannya terhadap epidemiologi Covid-19, keberkesanan langkah kesihatan awam dan sosial serta peneutralan antibodi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!