Letak CCTV di posisi sesuai, mudah kesan penjenayah

Idris (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Mazli (kiri) dan Jauteh (kanan) di IPK Sabah, Kota Kinabalu.
Idris (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Mazli (kiri) dan Jauteh (kanan) di IPK Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia menyarankan pemilik premis pasar raya mini di negeri ini supaya meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di posisi yang sesuai bagi memudahkan siasatan dilakukan jika berlaku kejadian jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, saranan itu dibuat susulan daripada kejadian samun membabitkan pasar raya mini yang berlaku di Tuaran dan Beluran baru-baru ini.

"Penjenayah menyasarkan pasar raya mini terutama di kawasan sunyi dan ketika tidak ramai orang.

"Jadi kita sarankan pemilik premis meletakkan CCTV di posisi yang betul dan bukan diletakkan di posisi dari atas (sukar mengenal pasti wajah), kita nak bila pelanggan masuk dapat 'capture' dan boleh nampak muka pelanggan," katanya kepada pemberita selepas hadir ketika Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Isnin.

Menurutnya, pemilik premis juga disarankan meletakkan CCTV di kawasan yang memudahkan pihak polis mengenal pasti kenderaan dinaiki penjenayah jika berlaku kes samun di kawasan berkenaan.

"Selain di pintu masuk, kalau boleh letakkan berhampiran mesin kaunter dan tempat parkir.

Artikel Berkaitan:

Idris menyempurnakan sesi pemakaian lencana pangkat kepada Jauteh dalam majlis serah terima tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di IPK Kota Kinabalu.
Idris menyempurnakan sesi pemakaian lencana pangkat kepada Jauteh dalam majlis serah terima tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di IPK Kota Kinabalu.

"Elok kita galakkan tiga lokasi ini, kalau tempat parkir sekurang-kurangnya kita tahu jenis dan warna kenderaan yang diguna, dapat juga membantu kita untuk menyiasat," katanya.

Mengulas mengenai kes samun yang berlaku di Tuaran dan Beluran, Idris berkata, kes itu masih dalam siasatan dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

"Tetapi kita syak dilakukan oleh orang yang sama dan setakat ini polis masih mengesan suspek kes ini," katanya.

Sebelum itu, difahamkan kes samun terbabit melibatkan mesin wang di kaunter yang dilarikan penjenayah dan berlaku dua hari berturut-turut di daerah yang berasingan.

Sementara itu, dalam majlis terbabit, Datuk Jauteh Dikun dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu bagi menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah yang ditinggalkan Jauteh diisi oleh Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!