Permaisuri Johor kongsi keakhraban bersama kakitangan India

Sugumaran (kanan) bersama Almarhum Tunku Abdul Jalil.
Sugumaran (kanan) bersama Almarhum Tunku Abdul Jalil.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menghargai perkhidmatan yang dilaksanakan empat pegawai istana berbangsa India mereka.

Individu yang dimaksudkan baginda Permaisuri adalah doktor keluarga diraja, Datuk Subramanyam Balan dan Datuk Singaraveloo; Aide De Camp Sultan Johor, Datuk Sugumaran serta pegawai istana dikenali sebagai Mohan.

Kenyataan baginda yang dimuat naik menerusi laman Facebook Zarith Sofiah Idris itu juga difahamkan kerana kebimbangannya mengenai ketegangan melibatkan kaum India di Malaysia.

“Dengan rusuhan yang berlaku di tapak kuil India di Subang Jaya baru-baru ini, seorang ahli bomba Melayu cedera dengan serius, dan ketegangan kaum telah meletus selepas itu.

“Saya telah terfikir mengenai rakan kenalan dan kakitangan bangsa India yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kami sekeluarga,” katanya dalam kenyataan tersebut, sebentar tadi.

Menceritakan mengenai pengalaman keluarga diraja bersama dua doktor tersebut, Raja Zarith berkata, kedua-duanya menabur bakti dengan penuh tanggungjawab dan memainkan peranan penting ketika pemulihan Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

“Datuk Subramanyam Balan dan Datuk Singaraveloo adalah doktor yang merawat keluarga kita. Mereka juga adalah sebahagian daripada pasukan perubatan yang membantu menjaga (Tunku) Jalil semasa menjalani rawatan kanser.

“Selama bertahun-tahun, apabila suami atau anak-anak saya sakit pada pertengahan malam, salah seorang daripada dua doktor ini yang akan tergesa-gesa datang untuk merawat kami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, apabila Tunku Abdul Jalil dikenal pasti mengidap kanser hati, keluarga termasuk almarhum sendiri merasa amat selesa dengan penjagaan kedua-dua doktor berkenaan.

“Disebabkan kelaziman mereka merawat Jalil semasa kecil, wajah mereka merupakan wajah mesra yang dipercayai Jalil untuk menjaganya ketika sakit. Apabila Jalil menarik nafas terakhirnya, Balan yang melihat waktu dan mengesahkan masa kematiannya,” katanya.

Sementara itu, baginda memberitahu, dua lagi individu yang dihargainya itu pula masing-masing menjalankan tugas dengan amanah selain turut dianggap teman kepada putera dan puteri keluarga diraja itu.

“Mohan mengajar semua anak saya bagaimana untuk berenang dan setiap kali mereka mahu berenang, Mohan akan menjaga mereka, dan berada di dalam air dengan mereka selama berjam-jam. Mohan menjadi jurulatih berenang, teman bermain mereka dan pengasuh mereka.

“Manakala, Datuk Sugumaran, beliau telah menunjukkan kasih sayang dan kesetiaannya kepada suami saya. Malah beliau sentiasa jujur dan ikhlas walaupun ada masanya ditegur,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!