Tindakan Manchester United tidak masuk akal
HARRY Redknapp menyifatkan keputusan Manchester United untuk melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara The Red Devils sehingga penghujung musim sebagai tidak masuk akal, sebaliknya menegaskan tanggungjawab sepatutnya diberikan kepada Michael Carrick.
Bekas pemain United itu sebelum ini diberikan tanggungjawab sebagai pengendali sementara selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat seminggu lalu, tetapi dijangka digantikan pengendali dari Jerman berkenaan.
Difahamkan Rangnick akan mengambil alih The Red Devils sehingga akhir musim sebelum mengambil tanggungjawab sebagai perunding kelab untuk tempoh dua tahun.
Bagaimanapun Redknapp berkata tindakan melantik Rangnick sebagai sesuatu yang 'bodoh' dan mengelirukan.
“Hakikatnya United telah membawa masuk Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara untuk menggantikan pengurus sementara sekarang, sebelum kelab mendapatkan pengurus benar-benar layak mengendali Manchester United, ini sesuatu yang tidak masuk akal.
“Saya tidak pernah mendengar suatu keputusan yang begitu bodoh dalam hidup saya, tidak kira apa cara anda melihatnya,” tulis bekas pengurus West Ham United dan Tottenham Hotspur itu dalam kolumnya.
Bekas pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino sebelum ini dipercayai merupakan calon pilihan United untuk menjadi pengurus tetap yang ditinggalkan Solskjaer, namun majikannya, Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan menolak pendekatan kelab Inggeris itu untuk merekrut pengurus dari Argentina itu.
Bagaimanapun, Redknapp menegaskan hierarki di Old Trafford sepatutnya berusaha lebih keras meyakinkan PSG untuk membenarkan Pochettino menyertai kelab itu pada pertengahan musim.
“Jika mereka mahukan khidmat Mauricio Pochettino mengetuai Manchester United, maka mereka perlu berusaha dengan pelbagai pendekatan dan cara untuk mendapatkannya bermula sekarang.
“Dan jika mereka terpaksa menunggu Pochettino, mereka tidak sepatutnya menolak Carrick dan meletakkan orang lain di atasnya selama beberapa bulan. Apakah yang cuba di sampaikan kelab? Kami tidak percaya pada awak?," ujar Redknapp
Carrick sebelum itu ketika mengendali The Red Devils buat kali pertama sebagai pengurus sementara mengemudi kelab itu mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas menewaskan Villarreal, 2-0 dalam aksi kumpulan.
Malah Redknapp menegaskan bekas pemain England itu berhak mendapat peluang untuk membuktikan kemampuannya mengendali gergasi Inggeris itu.
“Perkara yang penting pada ketika ini, Carrick mengenali Manchester United dari dalam dan luar.
“Dia mempunyai pemikiran bola sepak yang hebat - anda tidak dapat bermain permainan seperti yang dia lakukan melainkan anda memahaminya.
“Sekiranya mereka mahu membawa masuk sesiapa pun sebelum pengurus baharu dilantik, maka dapatkan seorang jurulatih untuk membantu Carrick, kerana pada ketika ini para pemain Manchester United sedang kecewa selepas pemergian Solskjaer.
“Kelab sepatutnya fokus mencari pengurus berpengalaman untuk mengendalikan Manchester United, namun pada masa sama membiarkan Carrick menjalankan tugas sehingga pelantikan pengendali baharu,” ujar Redknapp.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!