MR D.I.Y, MPHS bergabung bersih Sungai Kedondong
HULU SELANGOR - MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR. D.I.Y) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bekerjasama untuk membersihkan Sungai Kedondong, Batang Kali di sini sebagai satu persediaan menyambut kedatangan pengunjung ke lokasi tarikan alam semula jadi tersebut.
Pengerusi MR D.I.Y Group, Datuk Azlam Shah Alias berkata, aktiviti yang dijalankan baru-baru ini melibatkan 80 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta masyarakat orang asli dari Kampung Songkok di sini.
Menurutnya, aktiviti yang berlangsung selama dua jam itu melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan di sekeliling sungai dan menjalankan kerja-kerja pengindahan kemudahan di kawasan rekreasi tersebut.
“MR D.I.Y ingin memainkan peranan dalam memastikan taman, sungai dan lokasi tarikan alam semula jadi dilindungi untuk memastikan masa depan yang mampan untuk semua rakyat Malaysia bermula dengan mendidik pengunjung untuk menjaga keindahan kawasan tersebut.
“Ini merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif yang dirancang memandangkan cuti sekolah hujung tahun dan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi.
“Kami ingin berterima kasih kepada MPHS kerana sudi bekerjasama untuk menganjurkan aktiviti pembersihan ini dan kepada sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga untuk program ini,” katanya ketika dalam ucapan pembukaan program tersebut di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Azlam Shah turut berkongsi kejayaan MR D.I.Y baru-baru ini yang memperkenalkan beg guna semula di cawangan-cawangannya sebagai salah satu inisiatif pihaknya untuk memelihara alam sekitar.
Katanya, kira-kira 120,000 beg guna semula dibeli oleh pelanggan di cawangannya sejak Julai hingga September tahun ini.
“Ini membuktikan bahawa orang ramai menyokong pendekatan yang lebih mampan dalam kehidupan mereka, dan kami akan terus menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd menyambut baik kerjasama yang diberikan oleh syarikat tersebut untuk menjaga keindahan alam sekitar khususnya pusat rekreasi alam sekitar di Hulu Selangor.
Menurutnya, lokasi-lokasi tarikan alam semula jadi di Hulu Selangor termasuk Sungai Kedondong menarik ramai pengunjung pada hujung minggu.
Tambahnya, inisiatif tersebut turut bergerak seiring dengan hasrat MPHS untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai sebuah bandar rendah karbon menjelang 2030 dengan melaksanakan amalan-amalan kelestarian.
“Program ini adalah satu usaha pihak majlis untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-17 oleh Usaha Sama untuk Mencapai Matlamat-Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Isu kebersihan perlu ditangani segera dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan semua matlamat yang telah ditetapkan dapat dicapai," katanya.
Katanya, diharap kerjasama dengan badan korporat seperti ini boleh diteruskan dan diperluas di masa hadapan, selari dengan arah tuju MPHS iaitu urbanisasi untuk semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!