Lebih 200,000 pekerja asing sedia bekerja di Malaysia
ISKANDAR PUTERI - Lebih 200,000 pekerja asing yang telah mendaftar melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) akan dibenarkan bekerja kira-kira dua minggu lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pekerja asing tersebut sudah lengkap menerima suntikan vaksin dan mereka akan ditempatkan dalam beberapa sektor bersesuaian.
"Kita akan beri keutamaan kepada mereka yang telah ada dalam senarai (pendaftaran RTK PATI), kita tengok nak kerja dalam sektor mana, kalau sektor perladangan kita akan panggil syarikat besar untuk ambil mereka.
"Kita akan serahkan mereka kepada syarikat perladangan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri (IPD) di Kota Iskandar di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan
Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Kerja Raya Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Mohamad Zulkefly serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri.
Pada 2 November lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN telah membuat semakan mengenai permohonan tersebut meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta perladangan.
Mengenai cadangan KDN untuk membenarkan syarikat kawalan keselamatan swasta yang berlesen di negara ini menggaji tenaga kerja dari negara sumber baharu iaitu Filipina, Indonesia dan Bangladesh sebagai pengawal keselamatan, Hamzah berkata, perkara itu sedang diperincikan bagi mencukupkan kuota sedia ada.
Beliau berkata, hanya 20 peratus kuota dibenarkan untuk pengawal keselamatan warga asing, manakala kuota 80 peratus lagi diberi keutamaan kepada warga tempatan.
"Terdapat 180,000 pengawal keselamatan di negara ini dan buat masa ini, 30,000 daripadanya adalah dari Nepal yang terdiri daripada bekas tentera, polis dan agensi penguat kuasa di negara mereka.
"Apabila 30,000 pengawal keselamatan ini tamat tempoh perkhidmatan mereka, jika kita tidak dapat untuk menggantikan atau mendapatkan mereka yang sudah pulang ke Nepal, kita akan ambil pengawal keselamatan dari tiga negara yang saya sebutkan tadi," katanya.
Namun katanya, keutamaan lebih diberikan kepada warga tempatan kerana jawatan pengawal keselamatan perlu mempunyai integriti selain benar-benar mahir dan mengetahui undang-undang negara ini.
"Sebab itu, saya umumkan untuk adakan akademi diuruskan agensi di bawah KDN seperti polis, Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan imigresen bagi memastikan pengawal keselamatan warga tempatan itu dipertingkatkan tahap profesionalisme dan gaji mengikut jawatan diberikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!