Sabah bakal menjadi pengeluar gas hidrogen

Bung Moktar ketika sidang akhbar di pejabatnya di Sembulan Kota Kinabalu pada Isnin.
Bung Moktar ketika sidang akhbar di pejabatnya di Sembulan Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seluas 50,000 hektar tanah diperlukan bagi membolehkan Sabah sebagai hab utama pengeluar gas hidrogen dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara menjelang 2025.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, projek itu akan dilaksanakan oleh syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah iaitu Smart Sabah Corporation Sdn Bhd.

"Smart Sabah Corporation Sdn Bhd telah bermesyuarat pada 27 November lalu dan kita telah memutuskan untuk mencadangkan bagi mendapatkan tanah seluas 50,000 hektar dengan tujuan menjadikan Sabah sebagai hub utama gas hidrogen berskala besar di negeri ini.

"Projek ini dijangka akan memberi peluang pelaburan secara langsung tidak kurang daripada RM25 bilion kepada Sabah selain bakal mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan di pelbagai sektor kepada rakyat Sabah," katanya dalam sidang akhbar di pejaabatnya di Sembulan pada Isnin.

Diminta mengulas berhubung kos projek berkenaan, Bung Moktar yang juga pengerusi syarikat itu tidak menafikan ia memerlukan kos yang besar.

"Sebab itu kita memerlukan pelabur datang dan sebenarnya ada negara sudah menghubungi kita dan berminat untuk bekerjasama dengan syarikat ini.

"Setakat ini antara negara yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat ini adalah Korea Selatan, Jepun dan Dubai. Pembeli berebut kerana semua negara memerlukan gas hidrogen dan ia memang laku walaupun negara mereka boleh menghasilkannya namun tidak begitu banyak," jelasnya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, negeri ini telah dikenal pasti sebagai antara kawasan yang dapat mengeluarkan gas hidrogen dengan banyak kerana kelembapan udaranya yang baik.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya usaha seumpama ini, bermakna Sabah akan mendapat satu sumber pendapatyan yang baharu dan kita tidak lagi bergantung dengan petroleum semata-mata sebab bahan api akan habis dalam masa 30 atau 40 tahun akan datang.

"Sabah mampu mengeluarkan gas hidrogen dengan banyak sebab kelembapan kita lebih baik berbanding negara luar seperti Eropah hanya 28 peratus manakala di Sabah kita jangka 60 hingga 70 peratus kelembapan udara untuk kita hasilkan hidrogen itu nanti," katanya.

Beliau berkata, selain dijual kepada negara luar, ia juga memberi manfaat kepada Sabah sendiri sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!