ADUN cadang peruntukan sama rata kepada wakil rakyat
SEREMBAN - Peruntukan sama rata perlu diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan tanpa mengira latar belakang sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang.
Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) yang mencadangkan peruntukan itu berkata, ia selari dengan keadaan persekitaran politik pada masa ini yang bersifat lebih profesional dan matang selain menghormati mandat diberikan rakyat.
"Peruntukan perlu diberikan secara sama rata bagi semua wakil rakyat terutama bagi memastikan penyampaian khidmat kepada rakyat berjalan dengan baik.
“Peruntukan juga perlu supaya perbelanjaan asas terutama sewa pejabat atau pengambilan staf di pusat khidmat dapat ditanggung, supaya elaun ADUN itu sendiri tidak perlu dibelanjakan untuk tujuan itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Justeru, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berharap perkara tersebut dipertimbang kerajaan negeri sekali gus memastikan budaya politik yang baharu dapat dilaksanakan di Negeri Sembilan.
"Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, kami bertindak profesional dan tidak mengambil tindakan konfrontasi dengan kerajaan pada masa itu, pembangkang di Negeri Sembilan sekarang ini juga baik dan bersikap profesional, jadi ia perlu diteruskan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!