Axiata catat peningkatan konsisten pada suku ketiga
SHAH ALAM - Axiata Group Berhad (Axiata) mencatatkan peningkatan yang konsisten dalam prestasi operasi untuk suku ketiga berakhir 30 September 2021 (3Q21).
Axiata menerusi satu kenyataan berkata, pada 3Q21, pendapatan dilaporkan meningkat kepada RM6.5 bilion atau pertambahan 7.1 peratus.
“Pendapatan sebelum faedah, margin cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal stabil pada 43.7 peratus pada asas tahun ke tahun hasil sumbangan daripada PT XL Axiata Tbk, Dialog Axiata PLC, Robi Axiata Limited dan Axiata Digital Services Sdn Bhd.
“Keuntungan selepas cukai (PAT) dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kekal tidak berubah pada RM463 juta dan RM350 juta.
“Bagaimanapun, asas PATAMI meningkat kepada RM394 juta atau pertambahan 7.3 peratus,” katanya baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata, prestasi yang mantap ditunjukkan oleh Axiata pada suku ketiga meletakkannya pada trajektori yang kukuh dalam mengekalkan melayani keperluan pelanggan dan komuniti di seluruh rantau sebagai teknologi digital yang mempengaruhi pilihan individu dan perniagaan.
“Memandangkan permintaan untuk data dan penyelesaian digital semakin meningkat, Lembaga Pengarah meneruskan cabaran perniagaan untuk bertindak balas kepada keperluan komersial dan komuniti dengan daya tahan, ketangkasan serta empati merentasi semua pasaran kami.
“Dilengkapi dengan model operasi yang kukuh untuk menangani peluang perniagaan dan cabaran, kami juga komited untuk menyokong pemulihan dan pertumbuhan seluruh pasaran kami apabila masyarakat bangkit daripada pandemik bagi mencari tapak dalam normal digital baharu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!