Presiden Czech lantik Petr Fiala sebagai Perdana Menteri baharu

Petr Fiala.- Foto fail Reuters
Petr Fiala.- Foto fail Reuters
A
A
A

PRAGUE - Presiden Czech, Milos Zeman pada Ahad melantik Petr Fiala, ketua pakatan 'Together' yang memenangi Plihan Raya Umum pada Oktober, sebagai ketua kerajaan baharu.

"Saya melantik anda sebagai ketua kerajaan dan mendoakan anda berjaya dalam melaksanakan tugas ini untuk manfaat semua rakyat Republik Czech," Xinhua memetik Zeman dalam ucapannya pada majlis itu, yang disiarkan oleh televisyen Czech.

Dilahirkan di bandar Brno pada 1964, Fiala menamatkan pengajian pada 1988 di Universiti Masaryk dalam pengajian bahasa, kesusasteraan dan sejarah Czech.

Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli sejarah di sebuah muzium di Kromeriz, seorang wartawan dan editor serta menduduki pelbagai jawatan di universiti, termasuk rektor dari 2004 hingga 2011.

Pada 2012-2013 beliau menjadi Menteri Pendidikan, Sukan, dan Belia dalam kerajaan pimpinan Petr Necas.

Pada Oktober 2013, Fiala dilantik sebagai ahli Parlimen bebas untuk dewan perwakilan dan kemudiannya menyertai Parti Demokratik Sivik (CDS) yang dipimpinnya sejak 2014.

Pada awal Oktober, parti gabungan Together yang terdiri daripada CDS, Christian and Democratic Union – Parti Rakyat Czechoslovak dan parti TOP 09, memenangi 27.12 peratus undian dalam pilihan raya Parlimen.

Pakatan itu kemudiannya bergabung dengan blok lain, mengumpul majoriti 108 kerusi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!