Omicron: KKM tingkat survelan genomik di pintu masuk antarabangsa

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan survelan genomik di pintu-pintu masuk antarabangsa untuk memastikan kewujudan varian baharu Omicron dapat dikesan dengan cepat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini kerajaan telah berjaya meningkatkan kapasiti analisis jujukan genom penuh kepada 1,500 sampel sebulan.

“Dengan adanya varian membimbangkan (VOC) ini saya akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk tambah lagi peruntukan agar kita dapat tingkatkan lagi kapasitinya bagi melaksanakan survelan genomik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Petugas Covid-19 Institut Kesihatan Negara, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, jujukan genom penuh itu penting kerana melalui cara tersebut pihaknya akan dapat mengesan jenis varian yang telah berada di Malaysia.

“Melalui jujukan genom penuh, kita mengesan varian Delta telah ada di Malaysia dan analisis itu juga penting sekiranya varian baharu, Omicron juga wujud di Malaysia.

“Setakat hari ini melalui KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi yang membentuk konsortium bagi meningkatkan kapasiti penjujukan genom Covid-19, belum lagi menerima laporan mengenai varian Omicron di Malaysia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!