Harimau Malaya dibarisi pemain terbaik
PEMAIN tengah berpengalaman Baddrol Bakhtiar menganggap skuad kebangsaan yang akan bersaing pada Kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020 dibarisi pemain terbaik dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).
Tonggak pemain Kedah Darul Aman FC itu berkata, setiap pemain yang mendapat panggilan untuk menyarung jersi pasukan negara adalah pemain yang berjaya mempamerkan prestasi cemerlang.
"Saya melihat panggilan kali ini, senarai pemain yang dipanggil memang persaingannya begitu sengit. Bagi saya untuk berada dalam senarai akhir atau skuad utama pun akan berlaku saingan sengit.
"Bagi saya skuad kali ini adalah skuad terbaik dan sesiapa yang dipanggil ke skuad kebangsaan merupakan pemain terbaik di Liga-M ketika ini,” katanya pada sesi latihan pertama Kem Fasa 2 Skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pada masa sama, Baddrol berazam membantu skuad bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe mencipta kejayaan di Singapura jika terpilih dengan beliau teruja untuk menambah koleksi gol bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
"Sasaran saya adalah menjaringkan gol dan bagi sebaik mungkin kepada pasukan. Tetapi yang penting sekali kami perlu menang satu-satu perlawanan dan layak ke separuh akhir. Insya-ALLAH kalau rezeki ada pada Malaysia tak mustahil kita ke final,” kata pemain berusia 33 tahun itu.
Pandangan sama dilontarkan penyerang Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang optimis dengan keupayaan rakan sepasukan meskipun sesetengah pihak berpendapat Cheng Hoe tidak menyenaraikan pemain terbaik negara dalam pasukannya kali ini.
"Setakat beberapa hari yang lepas, saya yakin dan percaya pemain yang jurulatih panggil kali ini semuanya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk hadapi cabaran Piala AFF,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Eky dalam kalangan rakan sepasukan.
Kejuaraan Piala AFF 2020 dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari tahun depan di Singapura dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.
Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja pada 6 Disember diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!