Presiden Republik Korea lawat Malaysia esok
PUTRAJAYA - Presiden Republik Korea, Moon Jae-in dan Wanita Pertama, Kim Jung-sook akan melakukan lawatan negara ke Malaysia bermula esok hingga Khamis (12 hingga 14 Mac).
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, lawatan negara itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Seoul dan meletakkan asas baharu bagi hubungan dua hala untuk berkembang.
"Semasa lawatan, Presiden Moon akan disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada upacara sambutan negara di Parlimen pada Rabu. Ini diikuti majlis santapan negara yang dihoskan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi meraikan Presiden Moon dan delegasi di Istana Negara, " kata kenyataan itu.
Wisma Putra berkata President Moon merupakan ketua negara pertama diraikan pada majlis santapan oleh Yang di-Pertuan Agong sejak Seri Paduka menaiki takhta pada 31 Jan tahun ini.
Kali terakhir Presiden Republik Korea melakukan lawatan negara ke Malaysia ialah Presiden Lee Myung-bak, iaitu dari 9 hingga 10 Disember 2010 bagi memperingati ulang tahun ke-50 terjalinannya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Korea, kata kenyataan itu. Wisma Putra berkata Presiden Moon juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu.
"Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama. Peningkatan hubungan dua hala, ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Korea pada 2020, serta peningkatan hubungan ASEAN-Republik Korea ialah antara isu utama yang akan dibincangkan, " kata kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, Presiden Moon dan Dr Mahathir juga akan menyaksikan majlis menandatangani empat Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama industri berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), kerjasama dalam bidang pengangkutan, kerjasama dalam pembangunan Bandar Pintar di Malaysia, serta kerjasama dalam sektor industri halal.
Pada 2018, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Republik Korea mencatatkan peningkatan 7.2 peratus untuk mencecah AS$17.98 bilion (RM72.60 bilion) berbanding AS$15.76 bilion (RM67.71 bilion) pada 2017.
Republik Korea merupakan rakan perdagangan Malaysia yang kelapan terbesar di dunia dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke-13 terbesar pada 2018. Malaysia pula ialah rakan perdagangan Republik Korea yang ke-14 terbesar untuk tahun yang sama, kata Wisma Putra.
Wisma Putra juga berkata, dari Januari hingga September 2018, sejumlah 463,004 pelancong dari Republik Korea telah melawat Malaysia, yang merupakan peningkatan 33.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2017. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!