Semangat membara Harimau Selatan
PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia melakukan apa saja dalam misi menjulang Piala Malaysia apabila membuat perhitungan akhir menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, beliau akan mengekalkan identiti Harimau Selatan yang sentiasa dahagakan kejayaan dan bermain dengan taktik agresif dalam pertembungan itu nanti.
“Sudah tentu anda boleh menjangkakan JDT, kami tidak akan berdiam diri untuk menunggu spekulasi dan melihat apa akan berlaku dalam perlawanan ini.
“Kami akan melakukannya, kami akan ‘telan’ pasukan lawan dan kami akan menjaringkan gol. Itu saja caranya untuk menang dalam final, dengan menjaringkan gol. Kami mara ke final untuk menang.
“Sangat penting (mempertahankan kejuaraan) bagi mengekalkan mentaliti kemenangan dan produktiviti pasukan. Ia akan meninggalkan legasi yang baik mengenai kemenangan dan kemenangan,” katanya dalam sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.
Pada masa sama, Mora memberitahu, tidak timbul isu untuk membandingkannya dengan pengendali KL City, Bojan Hodak yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih JDT.
“Jujurnya saya tidak rasa apa-apa. Dia (Bojan) pernah berada di JDT dan menjadi watak penting ketika itu tetapi sebagai jurulatih, kami hanya membantu untuk melaksanakan permainan bola sepak yang terbaik dan memotivasikan mereka.
“Bojan hanyalah seorang lagi jurulatih dan dia tahu bagaimana untuk mengendalikan pasukan. Kalau kami menewaskan mereka, kami menewaskan KL City FC dan tiada isu peribadi,” ujarnya.
Malah, Mora mengakui kemenangan pada perlawanan akhir menentang KL City nanti amat penting buat Harimau Selatan yang sudah mula menjadikan kejayaan merangkul kejuaraan sebagai budaya.
“Motivasi sudah ada, ia bermula dengan saat yang baik, kemudian menjadi tabiat dan tradisi. Sekarang ia sudah menjadi budaya dan JDT mesti menang dalam apa saja yang dipertandingkan.
“Di JDT, kami perlu menang setiap pertandingan dan ini adalah tekanan yang begitu memuncak. Tetapi kami perlu mengharungi tekanan ini dan memenuhi apa yang dimahukan pihak pengurusan,” jelas pengendali kelahiran Mexico itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!