Bencana banjir: Jangan leka, teruslah waspada

Foto123rf
Foto123rf
A
A
A

SEHINGGA hari ini Kelantan masih terselamat daripada bencana banjir. Bahkan situasi ‘tenang’ itu turut sama dirasai di Pahang dan Terengganu yang tetap menerima taburan hujan, namun masih ‘baik-baik’ sahaja.

Tempohnya sudah agak terlewat dan amat berbeza dengan kebiasaan yang dihadapi negeri-negeri di Pantai Timur. Banjir pada musim tengkujuh seolah-olah berganjak daripada waktu kebiasaannya iaitu pada Oktober dan November.

Mengimbau sejarah terburuk bencana banjir pada 2014 adalah peristiwa yang tidak dapat penulis lupakan kerana perasaan teramat takut menyelubungi diri melihat Kelantan ditenggelami banjir luar biasa. Pada jam 9 malam, 24 Disember 2014, penulis keluar memandu kereta meninjau air sungai di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.

Sungai Kelantan melebar lebih 10 kali ganda daripada saiz biasa. Limpahan air mencecah pengadang jambatan dengan kedalaman lebih 30 meter daripada paras biasa.

Penulis berdiri di tepi pengadang jambatan dan dapat melihat dengan jelas kayu balak, harta benda penduduk seperti almari dan bangkai binatang bercampur dengan sampah-sarap yang dihanyutkan arus.

Tiba-tiba berasa gegaran di tempat penulis berdiri dan kali kedua gegaran lebih kuat sehingga penulis terhoyong-hayang sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta-merta mengarahkan jambatan berkenaan dikosongkan dan ditutup untuk semua kenderaan.

Ketika itu rata-rata tanah menggelongsor dan runtuh, manakala air Sungai Kelantan pula melimpah hingga menenggelamkan bandar dan penempatan penduduk.

Bersebelah rumah mentua penulis di Lemal, Pasir Mas, terbentuk laluan seperti sungai deras mengalir menenggelamkan kediaman.

Artikel Berkaitan:

Ketika menghantar bantuan kilat daripada Sinar Harian kepada mangsa banjir ketika itu, penulis terserempak dengan sekumpulan penduduk dari Kampung Som, Dabong, Jeli yang berteduh di sebuah khemah kecil dalam gelap-gelita di tepi jalan raya. Sistem perhubungan dan komunikasi, bekalan elektrik, petrol dan diesel serta bekalan makanan terputus. Ngeri!

Tahun ini Kelantan dijangka tidak berdepan banjir besar. Jangkaan dibuat berdasarkan pengiraan kadar taburan hujan setakat ini yang sudah mencatat sebanyak 1,825 mililiter (mm) atau 68 peratus daripada jumlah purata hujan tahunan berjumlah 2,700 mm. Maksudnya, baki taburan hujan tinggal 875 mm atau 32 peratus sahaja lagi.

Jika tepat ramalan itu, maka amatlah melegakan hati rakyat terutama mereka yang menetap di kawasan-kawasan lembah.

Pun begitu, wajar diingatkan agar orang ramai tidak terlalu leka dan teruslah aktifkan mood waspada kerana kuasa ALLAH SWT itu mengatasi segala jangkaan manusia.

Satu perkara yang teramat penting, adalah menjadi kewajipan kita menjaga kebersihan, menguruskan sisa sampah dengan betul bagi mengelak longkang tersumbat dan sungai tersekat dengan longgokan bahan buangan, sekali gus melancarkan aliran air. Sekurang-kurangnya kita dapat mengelak kejadian banjir kilat dan memastikan ekosistem alam terus lestari.

Salah satu ‘pencabulan’ terhadap alam sekitar yang jarang dibangkitkan adalah pencerobohan di tanah rizab di tebing-tebing sungai yang pastinya akan menimbulkan pelbagai masalah dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

Perbuatan itu bukan sahaja mengganggu kerja-kerja pembinaan benteng sekiranya ada keperluan berbuat demikian bagi menghalang limpahan air sungai, malah pasti mengundang kecelakaan hingga mengancam nyawa jiwa berlaku mendapan, geseran atau runtuhan.

Tahun ini dua kejadian tebing sungai runtuh berlaku di Kelantan dan memusnahkan banyak rumah penduduk di tebing sungai tetapi mujurlah tidak meragut nyawa.

Kejadian itu bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah di seluruh negara seperti kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika lawatan kerjanya di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas pada Ahad.

Saranan Tuan Ibrahim supaya rizab sungai tidak dicerobohi perlu dipandang serius agar ekosistem terjaga dengan baik dan dapat melancarkan fungsinya mengalirkan air, seterusnya diharap dapat membantu mengurangkan peratusan sesebuah lokasi itu ditenggelami air.

Sama-samalah kita berusaha menjaga dunia ini.

* Adila Sharinni Wahid ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!