Bapa sanggup pandu sejauh 180km demi tiket percuma
KUANTAN - Demi anak-anak, seorang bapa sanggup memandu kereta sejauh 180 kilometer (km) dari Karak ke Pejabat Sinar Harian Kuantan, semata-mata menebus tiket percuma ke taman tema di Bukit Gambang Resort City.
Rosli Kasim, 48, berkata, pengorbanan itu dilakukannya demi memastikan tiga anak-anaknya dapat menghabiskan masa cuti sekolah dengan sebaiknya.
Menurutnya, perancangan untuk bercuti bersama-sama anaknya itu sudah lama dirancang, tetapi lokasinya masih belum ditentukan lagi.
"Bila saya lihat iklan mengenai tiket percuma ini ketika makan di sebuah kedai saya terus berfikir bahawa Bukit Gambang Resort City boleh dijadikan lokasi percutian pada kali ini.
"Jadi saya buat keputusan untuk mengumpul kesemua token yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian selama seminggu bagi mendapatkan lima tiket percuma.
"Alhamdulilah hari ini, saya berjaya menebusnya dan anak-anak saya pasti sudah tidak sabar ke sana," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, Rosli mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian dan Bukit Gambang City kerana sudi menawarkan tiket percuma ini.
Jelasnya, adanya pemberian tiket percuma ini secara tidak langsung dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk ke sana.
“Ada yang tak mampu untuk ke sana, saya percaya apabila adanya tiket percuma sebegini, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang.
"Terima Kasih Sinar Harian dan Bukit Gambang City,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!