Shukor idam Piala Malaysia sebelum gantung but
TONGGAK pertahanan Kuala Lumpur (KL) City FC, Shukor Adan sama sekali tidak menyangka berpeluang untuk beraksi di pentas akhir Piala Malaysia sekali lagi ketika usianya sudah menginjak 42 tahun.
Menurut Shukor, dia mahu membantu The City Boys menjulang Piala Malaysia kali ini sebagai hadiah persaraan terbaik sebelum menutup kariernya dalam arena bola sepak tempatan dengan penuh gemilang.
“Kalaulah ditakdirkan ALLAH, KL City FC menang esok (Selasa), dengan ini saya umumkan persaraan saya dan ini tahun terakhir sebagai pemain bola sepak profesional.
“Saya pernah alami situasi yang sama sebelum ini ketika mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2014 ketika Malaysia berjaya langkah ke pentas final.
“Jadi saya rasa ini ada masa terbaik untuk habiskan karier sebagai pemain profesional. Jika saya tidak diturunkan pun, saya tetap berbangga dengan KL City FC,” kata Shukor dalam sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.
Untuk rekod, pemain kelahiran Melaka itu berjaya menjulang empat kejuaraan Piala Malaysia iaitu masing-masing dua ketika bersama Selangor dan Negeri Sembilan.
“Dalam umur 42 tahun ini, tak sangka dapat ke final walaupun kurang minit perlawanan, namun jurulatih (Bojan Hodak) tetap beri kepercayaan kepada saya.
“Di usia sekarang adalah pencapaian terbaik dan sudah berkecimpung dalam bola sepak tempatan hampir 24 tahun," jelas Shukor yang memburu kejuaraan Piala Malaysia kali kelima.
Dalam pada itu, pengendali KL City, Bojan Hodak tanpa berselindung mengakui beliau sudah berbincang dengan Shukor untuk menjadikan bekas kapten skuad Harimau Malaya itu sebagai pembantunya.
“Saya tak tahu dia bersetuju atau tidak untuk jadi pembantu saya. Malah, saya sudah berbincang dengan Shukor tentang perkara ini sebulan yang lalu.
“Namun, dia perlu menamatkan kursus kejurulatihan yang diambilnya pada ketika ini. Saya lihat Shukor ada potensi untuk menjadi jurulatih kerana dia bagus dalam memberi arahan kepada pasukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!