Skuad Waja tarik lebih 100,000 sukarelawan

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya menarik lebih 100,000 sukarelawan Skuad Waja yang merupakan program bantuan sokongan psikososial khususnya buat golongan wanita.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah peserta inisiatif itu yang merupakan sebahagian daripada program Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari dicapai dalam tempoh kurang tiga bulan dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kita tak dapat nafikan sewaktu pandemik ini, kes penceraian meningkat selain pelbagai konflik lain dan mereka ini mungkin ada yang masih tidak tahu cara mendapatkan ilmu dari segi perundangan berkenaan hak mereka.

"Skuad Waja ini ada di mana-mana, terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pemimpin komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan mendekati dan menjadi rakan kepada wanita yang memerlukan sokongan, termasuk mangsa keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Selamat Pagi Malaysia di TV1 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Selasa.

Rina berkata, kerjasama dengan NGO dan pemimpin komuniti juga banyak membantu usaha KPWKM mengesan kes keganasan rumah tangga yang turut dikenal pasti ketika mendekati golongan itu menerusi program penyerahan bakul makanan.

Dalam pada itu, seramai 4,483 peserta program Wanita Bangkit juga telah berjaya mendapat pekerjaan selain menjadi usahawan dan pencapaian itu melebihi sasaran 2,000 yang ditetapkan, pada masa yang sama KPWKM bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran usahawan wanita.

Selain itu, kementerian juga telah mewujudkan sistem digital dan pendaftaran dalam talian bagi memudahkan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan kad OKU digital yang membolehkan golongan itu menikmati pelbagai keistimewaan.

Artikel Berkaitan:

“Seramai 583,000 yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tapi berdasarkan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), 15 peratus daripada populasi kita adalah daripada golongan OKU iaitu sekitar 4.8 juta, satu perbezaan angka yang besar,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan era digitalisasi, JKM juga telah mula memberikan bantuan dalam bentuk tanpa tunai bagi memudahkan penerima, yang juga akan diperhebat pada masa akan datang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!