EzBooking sistem tempahan baharu MBI
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan sistem tempahan baharu, EzBooking menggantikan eDewan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sistem itu memudahkan urusan mendapatkan fasiliti seperti dewan, padang dan kompleks sukan milik MBI.
"Warga kota kini boleh membuat pembayaran dalam talian tanpa perlu hadir ke mana-mana kaunter MBI apabila mahu menggunakan kemudahan fasiliti MBI.
"Pengguna hanya perlu mendaftar akaun menggunakan kad pengenalan serta memasukkan maklumat asas sebelum memilih kemudahan fasiliti yang disediakan," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan November di Dewan Mesyuarat MBI di sini pada Selasa.
Hadir sama Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abdul Rahman dan Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak.
Rumaizi berkata, sistem yang ringkas dan mudah difahami itu juga dapat menjimatkan masa pengguna untuk menempah fasiliti yang ingin digunakan.
"Pengguna akan menerima notifikasi melalui e-mel selepas tempahan dan bayaran dibuat.
"Sistem ini juga turut mempunyai permohonan tuntutan cagaran secara dalam talian setelah menggunakan fasiliti tersebut," katanya.
Dengan adanya sistem EzBooking MBI, beliau berharap dapat meningkatkan mutu perkhidmatan MBI sejajar dengan keperluan teknologi semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!