Tidak hadir Parlimen, media cuba beri gambaran buruk
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa media di bawah kawalan PH cuba untuk memberi gambaran buruk terhadap diri beliau yang tidak hadirkan diri pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya lagi, laporan yang dibuat itu juga seolah-olah menunjukkan beliau dengan sengaja tidak hadirkan diri atau dalam erti kata lain tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Media di bawah kawalan kerajaan PH melaporkan saya tidak hadir ke majlis pembukaan penggal kedua parlimen hari ini tetapi tidak memberi sebarang sebab.
"Apa yang sebenarnya berlaku hari ini ialah mahkamah telah tolak permohonan saya untuk menghadiri parlimen untuk hari ini dan hari esok,"katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Zahid tak hadir pembukaan penggal kedua Parlimen
Dalam hantaran sama, Najib memuji laporan media dari Singapura yang dilihat lebih jujur untuk melaporkan berita sebenar dan beliau turut berkongsi pautan berita mengenainya itu.
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang bermula hari ini melakar sejarah tersendiri kerana ini kali pertama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat merasmikan persidangan itu selepas melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!