Magdalena dilantik semula sebagai PM Sweden
STOCKHOLM - Parlimen Sweden pada Isnin sekali lagi memilih Magdalena Andersson sebagai Perdana Menteri selepas beliau dipilih dan kemudian meletak jawatan pada minggu lepas, lapor Xinhua.
Dalam satu sidang media, Andersson, 54, yakin kerajaan minoritinya mampu menjalankan tugas dengan baik.
Beliau berkata, kerajaanya pimpinannya akan menumpukan kepada tiga bidang: kebajikan sosial, transformasi hijau dan menangani pengasingan sosial.
Andersson akan mengumumkan Kabinet baharunya pada Selasa dan pelantikan secara rasmi akan dibuat pada hari yang sama.
Parlimen Sweden meluluskan Andersson sebagai perdana menteri wanita pertama di negara itu pada Rabu lepas, namun beliau meletak jawatan tujuh jam kemudian apabila rakan pakatan Parti Hijau memutuskan untuk menarik sokongan kerana Parlimen meluluskan belanjawan pembangkang.
Sweden dicengkam pergolakan politik sejak berakhirnya pilihan raya 2018 yang turut menyaksikan buat pertama kali Perdana Menteri Sweden iaitu Stefan Lofven disingkirkan selepas gagal dalam undi tidak percaya terhadapnya pada Julai lepas.
Selama bertahun-tahun terdapat dua blok di Sweden: satu terdiri Demokrat Sosial dan Parti Hijau, dengan sokongan Left Party dan Moderat Party, Demokrat Kristian, Parti Liberal dan Center Party.
Berikutan pilihan raya 2018, Demokrat Sosial dan Parti Hijau membentuk kerajaan dengan sokongan pasif Center Party dan Parti Liberal, yang mahu mengetepikan Demokrat Sweden. Pakatan pemerintah juga terpaksa membuat beberapa konsesi dengan dua parti lain.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Moderate Party dan Demokrat Kristian mengumumkan hasrat untuk membentuk kerajaan konservatif dengan sokongan Demokrat Sweden. Kerajaan Andersson kini perlu berurusan dengan cadangan belanjawan yang dikemukakan oleh gabungan ini, yang diluluskan minggu lalu.
Andersson dijangka akan menerajui sebuah kerajaan yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran sehinggalah pilihan raya akan datang dijadualkan pada September 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!