Sarawak rancang tubuh syarikat penerbangan kecil

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Tan Sri Abang Johari Tun Openg
A
A
A

BETONG - Sarawak merancang untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan kecil yang disasar membantu usaha menjana ekonomi negeri melalui eksport hasil pertanian, selain memenuhi permintaan perjalanan individu dan pelancongan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri melihat sebuah syarikat penerbangan kecil milik sendiri yang dilengkapi dengan pesawat yang tidak terlalu besar, memuatkan sekitar 100 hingga 200 penumpang untuk membawa masuk pelancong, diperlukan ketika ini.

"Jadi, kita tidak (terlalu) bergantung kepada syarikat penerbangan (komersil) lain,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah Lapangan Terbang Landasan Pendek Bebuling, Spaoh di sini pada Selasa.

Beliau berkata, operasi penerbangan itu juga akan tertumpu kepada hab yang strategik selain rancangan awal adalah bagi menyediakan khidmat penerbangan secara terus dari Sarawak ke Kuala Lumpur, Singapura, Thailand, Indonesia dan Hong Kong.

Merujuk kepada Lapangan Terbang Landasan Pendek Bebuling yang dianggarkan menelan kos RM108.1 juta dan dijangka siap pada September 2023 itu, Abang Johari berkata, operasinya dilihat berpotensi menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian dan pelancongan di kawasan luar bandar

“Lapangan terbang ini penting sebagai pusat pengangkutan untuk menghantar hasil makanan dan produk makanan dari Betong, Spaoh dan kawasan berdekatan, selain lokasinya yang berdekatan dengan kawasan tarikan pelancongan Batang Ai,” tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!