Gabungan PKR dan Amanah wajar dipertimbang - Najwan Halimi

Foto Astro Awani
Foto Astro Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) sewajarnya mendapat pertimbangan kedua-dua pimpinan parti politik berkenaan.

Mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, ini kerana kedua-dua parti berkenaan dilihat mempunyai agenda yang sama termasuk penekanan terhadap kebajikan rakyat.

“Kedua-dua parti memiliki citra politik yang sama yakni mengangkat agenda Reformasi, mendukung prinsip keadilan sosial serta membela hak dan kebajikan rakyat terbanyak.

“Penggabungan Amanah ke dalam Keadilan pastinya akan membantu melonjak dukungan serta membina keyakinan rakyat khususnya pengundi Melayu terutamanya di luar bandar khususnya dalam usaha memenangi sokongan mereka dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Najwan berpendapat, langkah itu juga mampu untuk menyelesaikan isu pembahagian kerusi selain meningkatkan keupayaan jentera kedua-dua parti menjelang pilihan raya akan datang.

Selain itu pada pandangannya, cadangan gabungan itu juga secara tidak langsung mampu memperkukuh kepimpinan di dalam PKR yang sebelum ini dilihat retak ekoran berlakunya ‘Langkah Sheraton’ pada tahun lalu.

Baru-baru ini, penganalisis politik, Wong Chin Huat telah mencadangkan agar PKR dan Amanah bergabung untuk dijadikan sebagai sebuah parti politik yang membentuk kerjasama. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!