‘Itu kejadian banjir kilat 1 November lalu’
PUCHONG - Video tular memaparkan kejadian banjir kilat di kawasan parkir pusat komersial di Bandar Puchong Jaya hingga mengakibatkan beberapa kenderaan tenggelam yang tersebar di media sosial disahkan berlaku pada 1 November lalu.
Dalam rakaman beberapa video yang tersebar itu, kenderaan yang diletakkan di sekitar Jalan Kenari, Bandar Puchong Jaya dirakam ditenggelami air selain limpahan air deras di kawasan perparitan berdekatan.
Jurucakap Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang.
“Video yang tular menunjukkan pemandu mengharungi arus air yang bertakung bermula dari laluan susur masuk dari LDP ke Persiaran Puchong Selatan.
“Banjir kilat tersebut mengakibatkan limpahan air masuk ke dalam lot-lot kedai di kawasan berkenaan serta beberapa kereta turut ditenggelami air,” katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku disebabkan parit monsun jenis sistem saliran tiga kekotak di lokasi berkenaan yang berkapasiti rendah tidak dapat menyalurkan air keluar dari kawasan berkenaan.
Tambahnya, penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi banjir kilat di kawasan itu adalah dengan pelaksanaan projek kerja-kerja naik taraf sistem saliran yang kini dilaksanakan oleh pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
“Kerja naik taraf itu melibatkan penambahan tiga kekotak baru untuk menyalurkan air dengan lebih efisien.
“Projek kerja-kerja naik taraf tersebut telah dimulakan pada 25 November 2019,” katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian sedang dalam usaha menghubungi MBSJ bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!