Cegah keganasan perlu usaha kolektif
KUALA LUMPUR - Usaha mencegah keganasan memerlukan kesediaan dan usaha kolektif daripada semua pihak.
Timbalan Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Khairi Omar berkata, langkah pencegahan itu perlu dilaksanakan secara berterusan kerana ancamannya sentiasa wujud dan berevolusi dengan perubahan semasa.
"Isu keganasan berlaku dengan tidak mengenal agama, bangsa dan negara. Ia adalah isu universal dan ancamannya akan terus berada bersama kita, cuma tahap itu ada masanya tinggi, ada masanya mungkin turun.
"Jadi, sebab itu penting untuk sedar, bahawa kita harus bersedia secara kolektif sekiranya pada suatu masa nanti ia berada di peringkat membimbangkan," katanya ketika ditemui sempena bengkel bertajuk Peranan Media Dalam Mencegah Keganasan Dan Mempromosi Kesepaduan Sosial anjuran bersama oleh SEARCCT dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Bengkel bersama pengamal media yang diadakan selama dua hari bermula Isnin itu disokong oleh Kesatuan Eropah.
Khairi berkata, langkah pencegahan perlu sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan negara boleh bertindak dengan sebaiknya bagi mengekang sebarang bentuk keganasan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun domestik.
Kata beliau, SEARCCT juga sentiasa mengambil kira pelbagai pendekatan terkini dalam melaksanakan langkah pencegahan terhadap sebarang jenis keganasan yang sedang atau dijangka boleh berlaku pada masa akan datang.
"Selain daripada 'whole of government approach', pendekatan 'whole of society approach' juga perlu diperluaskan kepada masyarakat umum.
"Misalnya dengan melibatkan wakil-wakil organisasi daripada masyarakat sivil yang mana mereka ini lebih dekat dengan masyarakat akar umbi.
"Jadi mereka lebih mengetahui mengenai isu-isu utama yang berlaku dalam masyarakat dan perlu ditangani dengan cara terbaik," kata beliau.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan, Iman Research, Dina Zaman berkata, selain keganasan di peringkat antarabangsa, tekanan sosial dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dilihat turut berpotensi menyumbang kepada kemungkinan berlakunya keganasan domestik.
Menurutnya, selain xenofobia, tekanan tersebut juga dilihat mampu memburukkan perhubungan antara kaum di Malaysia jika ia tidak ditangani dengan baik.
Sehubungan itu, beliau yang juga perunding Buku Panduan Media SEARCCT-UNDP berkata, semua pihak terutama media perlu memainkan peranan dengan baik dan bertanggungjawab dalam perbincangan mengenai isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!