KPYPJ tawar diskaun selesai hutang yuran
JOHOR BAHRU - Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) komited mendapatkan kembali hutang yuran pengajian pelajarnya berjumlah RM19 juta sejak hampir 21 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasri Md Ali berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan kutipan secara lebih agresif dan terancang untuk tujuan tersebut.
"Antara pendekatan ini termasuk memperkukuhkan bahagian kredit KPYPJ di peringkat ibu pejabat selain membuka kaunter pembayaran hutang pengajian di pusat membeli belah di Angsana Johor Bahru Mall sejak 3 Mac lalu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian KPYPJ Info Desk di aras dua Angsana Johor Bahru Mall di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar KPYPJ, Abdul Razak Mohd Saad serta bakal Ikon KPYPJ pelawak terkenal Shahrol Shiro.
Nasri berkata, bagi menarik lebih ramai lepasan KPYPJ menjelaskan hutang tersebut, pihaknya menawarkan potongan diskaun sehingga 40 peratus sepanjang tempoh dua minggu dari tarikh pelancaran Kaunter KPYPJ Info Desk di pusat membeli-belah itu pada 9 Mac lalu.
"Hutang ini satu angka besar yang perlu dikutip secara bersungguh-sungguh kerana ia hasil yang dapat digunakan bagi tujuan penyediaan kemudahan infrastruktur pelajar seperti asrama, kemudahan riadah selain dapat disalurkan ke Tabung Amanah KPYPJ bagi membantu pelajar kurang bernasib baik.
"Jangan lepaskan peluang peluang menikmati diskaun hebat dalam masa terhad ini dengan berjumpa kakitangan bahagian kredit di Kaunter Informasi KPYPJ untuk mendapatkan maklumat lanjut,’’ katanya.
Nasri juga berharap lepasan sekolah dan juga ibu bapa dapat manfaatkan Kaunter Informasi KPYPJ dengan mendapatkan segala maklumat mengenai program-program pengajian ditawarkan kolej-kolej KPYPJ, selain informasi mengenai kemudahan asrama, yuran pendaftaran dan pengajian serta pinjaman yang ditawarkan.
Menurutnya, pembukaan KPYPJ Info Desk juga bertepatan dengan masa dan ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diumumkan 14 Mac ini, membolehkan pelajar mendapat khidmat rundingan petugas kaunter mengenai program pengajian sesuai diikuti berdasarkan kelulusan diperolehi.
KPYPJ ketika ini mengendalikan dua buah kolej utama iaitu Kampus Kolej YPJ di Kota Tinggi dan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) yang mempunyai empat cawangan di Johor.
Kolej YPJ yang berkapasiti 3,500 pelajar ketika ini menawarkan 15 program pengajian di peringkat diploma antaranya pengurusan perhotelan, seni bina, kejuruteraan mekanikal dan perakaunan, manakala KKJ menawarkan 11 program peringkat sijil antaranya, automotif servis selepas jualan, pembuatan pakaian wanita dan penyediaan dan pembuatan makanan.
Selain itu KPYPJ turut mendapat penarafan 5 Bintang Sistem Penilaian Qualiti Malaysia (MyQuest) bagi kolej swasta dan standard ISO9001:2015 selama tiga tahun berturut-turut bagi kolej KYPJ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!