Media perlu mainkan peranan jayakan 'Keluarga Malaysia'

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, media dan wartawan di negara ini boleh memainkan peranan bagi menjayakan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan. Menurutnya, ia sebagai mana peranan yang telah dilakukan sekian lama, iaitu menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat.

"Kewartawanan tradisional yang melalui proses pengesahan, penyuntingan yang ketat atau 'vigorous' pastinya menghasilkan berita yang benar atau sahih dan sekali gus membolehkan rakyat memahami konsep sebenar Keluarga Malaysia atau dasar kerajaan yang lain.

"Justeru, saya percaya rakyat masih menaruh keyakinan pada kredibiliti wartawan dalam situasi seperti itu.

'The good old journalism matters'. "Ini kerana sesetengah blog tidak lebih daripada berita yang niatnya untuk mensensasikan maklumat yang tidak tepat.

Media yang menyajikan berita-berita yang profesional, adil, sahih, menarik dan terkini akan berjaya," katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2021 di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama serantau membabitkan media peringkat ASEAN perlu diperkasakan demi memudahkan capaian kesefahaman antara negara.

Katanya, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) yang telah terjalin sejak 2007 boleh dijadikan model demi mencapai hasrat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap hubungan media dan wartawan Malaysia bersama rakan-rakan wartawan di negara jiran melalui ASEAN atau selainnya dapat diperkukuh dengan menjadikan ISWAMI sebagai model.

"Malah saya mencadangkan agar satu rangkaian kerjasama serantau membabitkan para wartawan pada peringkat serantau dapat diperkasa demi memudahkan capaian kesefahaman antara negara.

"Media dan wartawan adalah rangkaian persefahaman secara tidak langsung, selain daripada hubungan diplomatik sedia ada,"katanya.

Ismail juga mengucapkan penghargaan kepada wartawan yang disifatkan sebagai wira tidak didendang kerana memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan ketika negara dan dunia diserang Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!