Rakyat Malaysia waspada ancaman Omicron
HANYA sebulan sahaja lagi kita bakal meninggalkan tahun 2021.
Jika tahun 2020 boleh dianggap tahun yang mengejutkan dek ledakan pandemik Covid-19, rupanya tahun ini impak petaka Covid-19 lebih dahsyat.
Jika tahun lalu, jumlah kematian akibat Covid-19 cuma 471 orang, tahun 2021 pula angka tersebut mencecah seramai 30,371 orang (setakat 29 November).
Bayangkan, ia merupakan penambahan hampir 30,000 orang atau lebih 64 kali ganda untuk tahun ini. Lebih menakutkan penangan Covid-19 turut mendapat impak oleh varian SARS-CoV-2 baharu yang bermutasi.
Antara varian Covid-19 yang paling membimbangkan sejak awal tahun lalu ialah Delta yang digelar oleh saintis sebagai kuasa besar.
Ini kerana ia boleh menyebabkan jangkitan sehingga dua kali ganda lebih cepat daripada varian biasa.
Dengan kebanyakan rakyat Malaysia dan dunia telah melengkapkan dua dos suntikan Covid-19, kebimbangan terhadap ancaman Delta sedikit menurun.
Namun, sejak beberapa hari lalu tiba-tiba dunia dikejutkan dengan varian baharu SARS-CoV-2 yang lebih dahsyat dipanggil Omicron.
Pada Jumaat lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam satu mesyuarat tergempar secara maya, Kumpulan Penasihat Teknikal Terhadap Evolusi Virus SARS-CoV-2 mengisytiharkan Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC).
Omicron yang mula dikesan di Afrika Selatan telah dirujuk oleh pakar adalah lebih berbahaya daripada Delta.
Kebimbangan terhadap Omicron menyebabkan banyak negara telah mengambil langkah drastik dengan menutup pintu kepada pengembara dari beberapa negara Afrika.
Di Malaysia, walaupun setakat ini tiada kes positif melibatkan Omicron, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)mengakui varian berkenaan semakin menghampiri Malaysia.
Walaupun boleh dikatakan rata-rata rakyat Malaysia hari ini hidup semakin bebas apabila banyak SOP telah dilonggarkan, namun ternyata kita harus tetap waspada.
Jika kita alpa, tidak mustahil 2022 kita mungkin menderita angkara Omicron.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!