Nasihat Ewe Hock buat Tze Yong

Tze Yong - Foto Persatuan Badminton Malaysia
Tze Yong - Foto Persatuan Badminton Malaysia
A
A
A

BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock menitipkan pesan kepada Ng Tze Yong untuk memberi perhatian kepada tiga perkara utama dalam memastikan prestasi konsisten bintang muda itu sentiasa berada tahap terbaik dalam mengharungi pelbagai kejuaraan pada masa depan.

Menurut Ewe Hock, kejayaan pemain berusia 21 tahun tersebut menjuarai Terbuka Scotland di Glasgow pada Ahad, merupakan petanda positif untuk karier pemain berkenaan selepas cemerlang berstatus juara di Poland dan Belgium sebelum ini.

Malah jelas bekas pemain berusia 49 tahun itu, pencapaian yang dilakar permain muda dari Johor itu merupakan perkhabaran baik untuk kem perseorangan lelaki negara sudah mempunyai sorang lagi jagoan dunia dalam pembikinan selepas pemain nombor satu negara Lee Zii Jia.

“Bagaimanapun perjalanan Tze Yong baru sahaja bermula sebenarnya di peringkat junior malah beliau perlu mengharungi pelbagai ranjau dan cabaran untuk menjadi pemain senior yang digeruni dan dihormati pada masa depan.

“Perkara utama yang harus diberikan perhatian oleh Tze Yong dalam melalui fasa ini adalah jangan cepat berpuas hati dengan kejayaan yang dilakar pada ketika ini, sebaliknya perlu menanamkan tekad untuk bekerja lebih keras.

“Sebenarnya untuk menjadi pemain yang berjaya ia bukan satu perjalanan mudah kerana ia melalui proses pembelajaran berterusan, malah tahap disiplin juga perlu tinggi selain latihan secara berterusan tanpa mengenal erti jemu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Tze Yong yang membuat penampilan sulungnya di Piala Thomas bulan lalu, muncul juara Terbuka Scotland selepas menewaskan pemain negara Soong Joo Ven 21-18, 21-14 dalam masa 50 minit sekali gus mengesahkan kejuaraan ketiganya tahun ini selepas cemerlang di Terbuka Poland 2021 dan Terbuka Belgium 2021.

Pemain muda tersebut dijangka meneruskan pemburuan kejuaraan di Cabaran Antarabangsa Wales, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut juga berharap Tze Yong untuk lebih bijak dalam mengendali tekanan dari dalam dan luar gelanggang selepas mempamerkan persembahan cemerlang.

“Tekanan dari dalam dan luar merupakan perkara lumrah yang akan dilalui setiap pemain, tambahan pula sebagai pemain muda yang sedang meningkat naik Tze Yong pula cemerlang dengan tiga kejuaraan pada tahun ini sekali gus namanya akan menjadi perhatian.

“Elemen-elemen positif ini juga secara tidak langsung akan menyaksikan lebih banyak pengharapan disandarkan kepada Tze Yong selepas ini, situasi ini perlu diharungi dengan tenang dan bijaksana.

“Pada satu sudut sekiranya Tze Yong bijak mengendali setiap tekanan nescaya saya percaya dia akan lebih cepat matang dalam permainannya dalam meniti perjalanan kariernya,” ujar Ewe Hock.

Perkara ketiga yang merupakan elemen paling penting menurut Ewe Hock perlu diberikan perhatian oleh pemain dari Johor itu adalah mengelakkan sebarang kecederaan yang secara tidak langsung akan menjejaskan prestasinya pada masa depan.

“Sekiranya Tze Yong berjaya mengelak berlakunya sebarang kecederaan, nescaya prestasi dia akan sentiasa berada pada tahap terbaik dan tidak berdepan sebarang masalah untuk mengekalkan standardnya dalam mengharungi setiap kejuaraan berintensiti tinggi.

“Jadi Tze Yong kena lebih peka dan berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya sebarang kecederaan terutamanya kecederaan yang serius semasa latihan dan pertandingan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!