Varian Omicron sudah lama ada di Belanda
BILTHOVEN - Pihak berkuasa Belanda pada Selasa memaklumkan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron telah lama ada di negara itu sebelum Afrika Selatan melaporkan kewujudan dan dihebahkan kepada dunia.
Menurut sebuah institut kesihatan awam negara itu yang dikenali sebagai RIVM, varian tersebut ditemui dalam dua sampel iaitu pada 19 November dan 23 November dan salah seorang penghidapnya tidak mempunyai sejarah perjalanan.
RIVM memaklumkan, berdasarkan penemuan sampel itu, dipercayai varian Omicron sudah tersebar di Belanda.
Ketua RIVM, Aura Timen turut mengesahkan kepada AFP bahawa varian tersebut sudah wujud di negaranya.
"Sehubungan itu, pihak berkuasa Belanda telah diberitahu mengenai dua kes tersebut dan kini sedang melakukan pengesanan kontak," kata institut tersebut.
Menurut institut tersebut, salah seorang daripada dua yang dijangkiti dengan varian itu telah melawat selatan Afrika.
Dua kes itu juga lebih awal ditemui berbanding kes seorang individu yang disahkan dijangkiti dengan varian Omicron baru-baru ini.
Individu itu disahkan dijangkiti varian tersebut selepas dia dipercayai tergolong dalam kluster penumpang dari Afrika Selatan yang tiba di Amsterdam pada Jumaat lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!