Sengaja potong tangan demi pampasan insurans
LJUBLJANA - SLOVENIA .Seorang wanita dari Slovenia dikatakan dengan sengaja memotong pergelangan tangannya menggunakan gergaji bulat demi menuntut wang insurans.
Ketika melakukan perbuatan tersebut di rumah mereka di Ljubljana, wanita berusia 21 tahun berkenaan turut mendapat bantuan beberapa ahli keluarga.
'Mangsa' kemudian dikejarkan ke hospital dengan alasan tercedera ketika memotong dahan.
Dia juga dengan sengaja 'meninggalkan' pergelangan tangannya di rumah agar pihak hospital tidak dapat menyambungnya kembali.
'Usahanya' untuk mendapatkan kecacatan kekal gagal apabila pihak berkuasa berjaya menemui tangannya dan mencantumkannya kembali.
Menurut polis, suspek dikatakan baru membeli polisi insurans dan 'berhak' mendapat sejumlah wang pampasan serta bayaran bulanan berjumlah kira - kira €3,000 (RM18,359).
Terdahulu, empat ahli keluarga wanita itu ditahan pada awal tahun ini, namun dua daripadanya kemudian dibebaskan.
Wanita itu kini ditahan dan berdepan hukuman penjara lapan tahun sekiranya didapati bersalah. - BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!