Langgar SOP PKPB: Neelofa, suami lepas tanpa bebas
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu melepas tanpa membebaskan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail,26, terhadap pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai permaidani di Nilai, Mei lalu.
Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas mengambil kira hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Beliau menetapkan 21 Disember ini bagi perintah pelepasan dan pembebasan (DNA).
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling memaklumkan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan sebelum ini telah dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara.
Pihak pembelaan yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui media berkata, beliau berpuas hati apabila pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap anak guamnya.
"Representasi kami telah pun diterima Jabatan Peguam Negara. Kes ini bukanlah perkara besar tetapi dibesar-besarkan.
"Kita agak gembira dengan keputusan ini walaupun kita rasa boleh menang dengan cara mudah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang disabitkan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Status kehamilan Neelofa akhirnya terjawab
Katanya, tindakan kompaun akan dikenakan terhadap anak guamnya sama ada pada Rabu atau Khamis.
Sementara itu, usaha media untuk mendapatkan ulasan lanjut Neelofa berhubung keputusan mahkamah gagal kerana selebriti itu hanya mendiamkan diri.
Neelofa dan Muhammad Haris yang memakai pakaian sedondon berwarna biru tiba di mahkamah pada jam 9.40 pagi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu.
Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!