Kerajaan tiada hasrat swastakan operasi dagangan karbon

Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk menswastakan pengurusan dan operasi perdagangan karbon, sebaliknya sedang membangunkan platform tunggal perdagangan karbon peringkat domestik.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembangunan platform tunggal perdagangan itu dibuat melalui kerjasama antara Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia.

Menurutnya, platform pasaran karbon domestik ini dibangunkan secara berfasa di mana fasa awal akan melibatkan pelaksanaan pasaran karbon secara sukarela (VCM) sebelum peralihan kepada Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS).

“Sebagaimana semua sedia maklum, Bursa Malaysia adalah merupakan satu entiti berstatus Syarikat Berhad bawah Kementerian Kewangan. Bursa Malaysia dipilih bagi membangunkan VCM Domestik/ DETS disebabkan pengalaman Bursa Malaysia dalam melaksanakan operasi pasaran modal seperti ekuiti dan bon.

“Dalam masa yang sama, Bursa Malaysia juga telah sedia mempunyai keupayaan teknikal dan perundangan untuk menjadi entiti pelaksana DETS.

“Pelaksanaan fasa-fasa DETS pula adalah berpandukan kepada prinsip pasaran terbuka (open market) serta permintaan dan penawaran pasaran. Ia akan memudahkan akses pasaran karbon domestik oleh entiti yang berpotensi seperti syarikat swasta dan kerajaan negeri,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wong Chew (PH-Subang) yang memintanya menyatakan adakah KASA berhasrat untuk menswastakan pengurusan dan operasi bursa itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dagangan karbon di peringkat domestik akan dilaksanakan secara berfasa mulai penghujung tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, buat masa ini, Kementerian Kewangan Malaysia, KASA dan Bursa Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan belian daripada pihak kerajaan negeri di samping menarik pelaburan daripada pembeli kredit karbon yang berpotensi.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga sedang meneliti kerangka rekaan pasaran, urusan pendaftaran dan bekerjasama dengan pihak yang membangunkan piawaian antarabangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!